Menangislah bila perlu menangis

Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dihiasi tangisan .Nyaring berkumandang menyaring segala suara yang menyapa telinga ibu.Lonjak hatinya memuncak gembira penawar sakit dan lesu. Lalu bermulalah sebuah kehidupan yang mewarnai bumi berpenakan hati, berdakwatkan air mata.

Air mata adakalanya penyubur hati,penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan. Namun setitis air mata kerana takutkan ALLAH persis permata indahnya gemerlapan. Penghuni Syurga ialah mereka yang banyak dukacitanya di dunia. Tidak berkumpul dua perkara dalam satu masa.Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia akan gembira di akhirat. Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang. Alangkah sempitnya kuburku,keluh seorang Abid. Alangkah sedikitnya hartaku,kesal si hartawan.

Dari mata yang mengitai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus,mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirkan air mata insaf mengharap kemenangan.

“Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang.” (al- Hasr: 20)

Sabda Rasulullah s.a.w. “Ada dua titisan yang ALLAH cintai,pertama titisan darah para Syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH.”

Oleh itu berhati-hatilah dalam tangisan,kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga mana kelak ia akan bertakhta.

Nabi bersabda : “Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih,lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.” Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal,takut-takut tidak diterima ibadatnya,kita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan. Lupakah kita Nabi pernah bersabda : “Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa,akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis.” Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka. Namun,Allah s.a.w. telah berfirman : ” Boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu,pada hal ianya amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (AL BAQARAH : 216)

Bukankah Nabi pernah bersabda: “Neraka dipagari nikmat,syurga dipagari bala.” Menangislah wahai diri,agar senyumanmu banyak di kemudian hari. Kerana engkau belum tahu, nasibmu dipuak kanan atau dipuak kiri.Di sana,lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah yang dikasihi Tuhan. Kenangilah, sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menangis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat. Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata :

“Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu.” Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya : “Kenapa engkau menangis?” “Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar berperang,”jawabnya. Ibnu Mas’ud r.a. berkata: ” Seorang yang mengenal al Quran dikenali apabila waktu malam ketika orang lain tidur dan waktu siangnya ketika orang lian tidak berpuasa, sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu orang lain tertawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusyuknya di waktu orang lain berbangga. Seharunya orang yang mengerti al Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam lalai, bersuara keras dan pemarah.

Tanyailah orang-orang yang soleh mengapa dia tidak berhibur: ” Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati tu di belakang kami,kubur di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah Allah.”

Menagisah di sini, sebelum menangis di sana……

Oleh
Hakimi Wellington Bin Abdullah

Dipetik dari
Sakinah, Risalah rasmi Kelab Kerohanian
Institut RANACO, Kemaman, Terengganu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s