Ciri-ciri Keistimewaan Islam dalam Ruang Ibadah: Siri 2

Assalamu’alaikum adik-adik!!

Semoga adik-adik berada dalam keadaan sihat bukan sahaja fizikal, malah juga rohani. untuk mengejar ganjaran pada malam-malam terakhir Ramadhan terutamanya Lailatul Qadar. Pada kali ini, kita akan menyambung perkongsian daripada Biro Akademik dan Seminar KRIM Ganu siri 1 beberapa ketika dahulu. Siri ke-2 ini akan menghuraikan konsep ibadah dan keistimewaan ibadah di dalam islam. Adik-adik nak tahu apa istimewanya ibdah ajaran kita? Mari sama-sama kita baca. Selamat membaca!

Konsep Ibadah yang Sahih dan Syumul

Sesungguhnya Allah menciptakan kita agar menyembahNya. Ia hendaklah disertai dengan rasa penuh ketundukan dan dengan rasa cinta yang tertinggi. Ibadah jelasnya mempunyai pertalian dan kaitan tentang tujuan penciptaan manusia oleh Allah s.w.t di muka bumi ini.  Konsep ibadah yang sahih dan syumul sangat luas ruang lingkupnya di mana merangkumi seluruh seluruh urusan agama dan merangkumi urusan kehidupan.

Konsep Ibadah yang merangkumi seluruh urusan Agama

Ibnu Taimiyah ditanya tentang firman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu … (Al-Baqarah:21)

Apakah pengertian Ibadah? Apakah pula cabang-cabang ibadah?

Beliau menjawab: “Ibadah ialah kata nama yang meliputi semua perkara yang disukai dan diredhai oleh Allah sama ada perkataan mahupun perbuatan, zahir mahupun batin. Oleh tu sembahyang, zakat, puasa, haji, bercakap benar, melaksanakan amanah, berbakti kepada ibu bapa, mengeratkan silaturrahim, menunaikan janji, menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kejahatan, berjihad menentang golongan kuffar dan munafik, berbuat baik kepada jiran, anak yatim, orang miskin, orang bermusafir, hamba dan binatang, berdoa, berzikir,  membaca al-quran dan lain-lain adalah ibadah. Begitu juga dengan cintakan Allah dan rasul-Nya s.a.w, takutkan Allah, menyerah kepada-Nya, ikhlas tunduk kepada-Nya, bersabarterhadap hukum-Nya, syukur dengan pelbagai nikmat-Nya, redha dengan ketentuan-Nya, bertawakal dengan-Nya, mengharapkan rahmat-Nya, gerun dengan azab-Nya dan seumpanya adalah ibadah kepada Allah. [1]

Melalui penjelasan daripada Ibnu Taimiyyah ini jelas bahawa ibadah mempunyai ufuk dan ruang lingkup yang sangat luas. Ia tidak terbatas kepada syiar-syiar Ibadah khusus, tetapi lebih syumul dan menyeluruh. Syiar ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain merupakan sebahagian daripada ibadah dan ibadah-ibadah tersebut bukanlah keseluruhan ibadah. Oleh itu ibadah merangkumi segala amalan sunat yang menjadi tambahan  kepada amalan fardhu seperti zikir, membaca al-quran, berdoa, beristighfar, bertasbih, bertahlil, bertakbir dan bertahmid. Ia juga merangkumi pergaulan yang baik, menunaikan hak-hak manusia, berbuat baik kepada anak yatim, orang miskin dan orang yang mengembara, mengasihani golongan yang lemah dan berlembut kepada haiwan.

Ibadah juga meliputi akhlak dan peribadi yang mulia seperti bercakap benar, menunaikan amanah, melaksanakan janji dan akhlak-akhlak mulia yang lain. Ibadah turut meliputi ‘akhlak-akhlak rabbani’ seperti cintakan Allah dan Rasul-Nya, takut dan menyerah kepada Allah, ikhlas tunduk kepada-Nya, bersabar dengan hukuman-Nya, redha dengan ketentuan-Nya , bertawakal dan berharap kepada rahmatnya-Nya.

Ibadah juga merangkumi dua kefardhuan besar yang merupakan pagar dan pengawal Islam. Iaitu menyuruh kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran, dan berjihad menentang golongan kafir dan munafik.[2]

menung

Sekadar Hiasan

Konsep Ibadah merangkumi Seluruh Urusan Kehidupan.

Ibadah merangkumi seluruh kehidupan dan mengatur urusannya; daripada adab makan dan minum, membuang air, membina Negara, mentadbir pemerintahan juga kewangan, urusan muamalat, hukuman dan asas hubungan antarabangsa semasa damai atau perang.

Lantaran daripada itu kita dapati Al-Quran berbicara dengan orang yang beriman melalui perintah pertanggungjawaban dan hukum-hukum syarak yang merangkumi pelbagai bidang kehidupan. Dalam satu surah sahaja iaitu Surah Al-Baqarah kita temui pelbagai tanggungjawab dan semuanya tampil dalam satu ungkapan  ﻜﺘﺏ ﻋﻠﻴﻜﻢ (kamu diwajibkan)

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh;..” (Al-Baqarah:178)

Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa  dan karib kerabatnya secara ma’ruf , (ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah:180)

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Al-Baqarah:183)

Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Al-Baqarah:216)

Semua perkara di atas iaitu hukum qisas, wasiat, puasa dan peperangan  adalah kewajipan yang difardukan kepada hamba-Nya. Oleh itu mereka wajib menyembah Allah dengan beriltizam dan patuh dengan arahan-arahan tersebut. Bahkan mereka hendaklah menyembah Allah dalam ruang lingkup yang lebih luas daripada itu.

Firman Allah taala yang bermaksud:

Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)”(Al-An’am: 162-163)

Ruang lingkup ibadah amat luas sehingga merangkumi semua urusan kehidupan seharian. Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis kepada Abu Umamah daripada Nabi s.a.w, Baginda bersabda:

Allah azza wa jalla berfirman: Ibadah hamba-Ku yang paling aku sukai ialah melaksanakan nasihat untuk-Ku.

Daripada Abu Hurairah r.a, katanya: rasullullah s.a.w bersabda:

Setiap sendi manusia dituntut melakukan sedekah setiap hari apabila matahari terbit. Kamu mendamaikan orang dengan adil adalah sedekah, membantu lelaki menaiki tunggangannya atau menaikkan barangnya adalah sedekah dan membuang perkara yang menyakiti di jalan adalah sedekah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis Abu Zar r.a: Rasulullah s.a.w bersabda:

“…Pada kemaluan kamu juga dikira sedekah.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasullulah, adakah jika seorang daripada kami melunaskan nafsunya turut mendapat pahala.” Sabda Nabi: “Apakah pendapat kamu jika ia digunakan pada perkara yang haram, adakah dia akan memperoleh dosa? Begitulah juga apabila dia menggunakannya pada perkara yang halal, dia akan  memperolehi pahala. (Riwayat Muslim)

Oleh itu seseorang muslim mampu menjadikan kehidupan dan seluruh waktunya ibadah kepada Allah, iaitu selagi dia mencari keredhaan Allah azza wa jalla. Oleh itu, lelaki yang keletihan bekerja dengan usaha tangannya adalah beribadat kepada Allah. Pelajar yang penat mengulangkaji pelajarannya adalah beribadat kepada Allah. Penyelidik yang sibuk dengan ujikaji dan peralatannya adalah beribadat kepada Allah. Wanita yang terpaksa berjaga malam demi keselesaan anak dan suaminya adalah beribadah kepada Allah.

Dengan itu, ibadah adalah kepasrahan, ketundukan, kehinaan, kepatuhan, dan penyerahan diri yang disertai dengan rasa cinta dan redha. Cinta dan redha merupakan dua faktor yang akan melahirkan usaha yang kuat dan bersungguh-sungguh demi memenagkan agama. Ia juga akan mencernakan usaha dan pengorbanan yang berterusan. Hinggakan bergerak, diam, emosi dan perasaan, semuanya digunakan manusia demi memenangkan kebenaran, keadilan dan agama.

Do'a

Sekadar Hiasan

Firman Allah yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, ruku’lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik- baik Penolong.(Al-Hajj: 77-78)

Ayat diatas bermula dengan perintah agar manusia ruku’ dan sujud. Ia diakhiri dengan perintah umum melakukan ibadah. Iaitu ibadah yang lebih menyeluruh daripada ibadah sembahyang. Maka ibadah kepada Allah merangkumi semua kefardhuan. Bahkan lebih dari itu, hinggakan semua pergerakan, diam, perasaan dan sensitiviti adalah ibadah. Oleh itu, semua aktiviti manusia dalam kehidupan boleh bertukar ibadah apabila dia menghala tujukan hatinya kepada Allah taala. Hinggakan kegembiraan yang dikecapinya daripada pelbagai elemen baik dalam kehidupan sekalipun dengan sedikit usaha, kegembiraan itu menjadi ibadah yang memberatkan timbangan kebaikan seseorang hamba.[3]

Adab-adab pada waktu siang dan malam memotivasikan manusia agar hidup dalam kebersamaan Allah secara menyeluruh. Bermula daripada dia bangun daripada tidur, hinggalah dia tidur semula. Sebagai contoh ketika dia bangun tidur dia menyebut nama Allah dan hidup dalam kebersamaannya dengan Allah Azza wa jalla. Dia membaca dia setelah bangun dari tidur.

Dalam situasi-situasi yang lain; tatkala dia memakai baju, bercermin, keluar dari rumah, memasuki dan keluar pasar hingga kepada dia tidur semula, dia berada dalam keadaan sentiasa bersama Allah Taala… Ini boleh dirujuk kepada kitab ‘Adab al-Yaum wa al-Lailah’ karangan Imam an-Nawawi dan juga buku ‘Minhaj al-Muslim’ karangan Syeikh Abu Bakar al-Jazairi.

jemaah

Sekadar Hiasan

Ibadah Merangkumi Seluruh Anggota Manusia

Di antara keistimewaan ibadah Islam ialah bahawa ia merangkumi seluruh anggota manusia.

a. Ibadah Hati.

b. Ibadah Lidah.

c. Ibadah Pendengaran (Telinga).

d. Ibadah Penglihatan (Mata).

e. Ibadah Deria Rasa (Lidah/ Tangan).

f. Ibadah Deria Hidu.

g. Ibadah Tangan dan Kaki.

h. Ibadah Kemaluan.

Keistimewaan Ibadah dalam Islam

Beberapa keistimewaan Ibadah di dalam Islam:

1) Perhubungan manusia dengan Allah s.w.t tidak memerlukan perantaraan. Ia bermakna tiada dominasi oleh para ulama dalam melakukan peribadatan kepada Allah s.w.t. Ini berbeza dengan apa yang terdapat di dalam agama Kristian dimana rahib-rahibnya berperanan sebagai perantara kepada Tuhan dalam menentukan hukum dan mengampunkan dosa penganutnya. Islam menggariskan hanya Allah sahaja sumber hukum dan Dia sahajalah tempat seseorang itu mengadu. Ini boleh dilakukan secara langsung kepada Allah s.w.t tanpa perlu menghadap para ulama untuk memohon restu. Namun begitu para ulama mempunyai peranannya sendiri dalam masyarakat iaitu dalam memandu anggota masyarakat ke arah melakukan peribadatan dengan cara yang betul. [4]

2) Ibadah dalam Islam tidak terkongkong pada sesuatu tempat peribadatan sahaja. Ibadat boleh dilakukan di mana-mana sahaja kerana di mana sahaja orang itu berada, perhubungan yang langsung kepada Allah s.w.t dapat dilakukan. Islam menganggap seluruh bumi kecuali tempat-tempat najis dan kotor sebagai masjid. Hal ini dapat dilihat dalam amalan Rasulullah s.a.w sendiri yang mana baginda bersembahyang di tengah-tengah padang pasir dan juga semasa berkenderaan.

3) Ruang ibadah dalam Islam amat luas sekali. Ianya merangkumi setiap aktiviti kehidupan manusia (seperti yang dibincangkan dalam konsep ibadah yang syumul dalam agama dan kehidupan seharian). Setiap apa yang dilakukan baik yang bersangkutan dengan individu mahupun dengan masyarakat boleh dijadikan sebagai ibadah kepada Allah s.w.t jika memenuhi syarat-syarat tertentu.

bersambung….

olahan: Biro Akademik & Seminar KRIM Ganu


[1] Asas-asas Islam –Modul Pembangunan Insan, Dr.Ali Laban, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), 2007 (280-281)

[2] Al-Ibadah Fi al-islam, Dr. Yusuf Al-Qardhawi

a Ma’ruf ialah adil dan baik. Wasiat itu tidak melebihi sepertiga dari seluruh harta orang yang akan meninggal itu. Ayat ini dinasakhkan dengan ayat mewaris

[3] Al-Ibadah Jauharuha wa Aafaquha karangan Sheikh Muhammad Abdullah al-Khatib dengan pengubahsuaian

[4] Abu Urwah, 1986.

3 responses to “Ciri-ciri Keistimewaan Islam dalam Ruang Ibadah: Siri 2

  1. Assalamoalaikum

    Are you from Malaysia? Its so nice to see so many people blogging religious contents in this sort of alanguage, I wish I could read/understand it!!

    jazakAllah

  2. terimakasih tuk masukannya… ^^

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s