Ciri-Ciri Keistimewaan Islam Dalam Ruang Ibadah 3

Alhamdulillah, atas permintaan yang memberangsangkan daripada para pembaca sekalian, KRIM Terengganu kembali membawakan siri ciri-ciri keistimewaan Islam dalam ruang ibadah. Semoga bermanfaat kepada semua.

Matlamat Ibadah dalam Islam

Mungkin ada orang akan bertanya: “Kenapakah kita harus beribadah kepada Allah s.w.t.? Kenapakah Allah s.w.t. memfardhukan ke atas manusia supaya beribadah kepada-

Nya? Sedangkah Dia adalah Tuhan terkaya daripada ibadah itu, dan Dia tidak memerlukan khidmat manusia terhadap-Nya? Apakah faedahnya kita beribadah kepada Allah s.w.t.?”

Sesungguhnya, Allah s.w.t. langsung tidak mengambil faedah daripada hamba-Nya. Dia juga tidak akan termudharat akibat keengganan hamba-Nya daripada menyembah-Nya. Keagungan kerajaan-Nya tidak bertambah dengan sebab ibadah manusia, zikir dan tahmid mereka kepada-Nya. Dia adalah Tuhan yang Maha Kaya, dan kita adalah hamba-hamba-Nya yang fakir. [1]

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang kufur, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya dan Pemurah.”(Surah al-Naml: 40)

Apabila Allah S.W.T. adalah Tuhan yang Kaya secara mutlak, maka mengapakah Dia mentaklifkan hamba-Nya supaya menyembahNya? Sesungguhnya jawapan kepada persoalan ini tersembunyi dalam tabi‘at diri manusia itu sendiri, tabi‘at tugasnya di muka bumi dan matlamat yang jadikan tujuan di sebalik kehidupan dunia ini. Berikut dinukilkan sedikit faedah yang mungkin kita dapati di sebalik ibadat kepada Allah s.w.t.

Al-Imam Fakhruddin al-Razi pernah berkata:

Ketahuilah bahawa barangsiapa yang mengetahui faedah-faedah ibadah, nescaya lazatlah dia beribadah, dan beratlah hatinya mahu melakukan perkara-perkara lain selain ibadah.

Faedah tersebut dapat disingkapi daripada beberapa bentuk:

1) Bahawa al-kamal iaitu sifat kesempurnaan dicintai, dilobai dan dituntut. Hal keadaan manusia yang paling sempurna ialah apabila dia sibuk dengan beribadah kepada Allah s.w.t., kerana hatinya akan bersinaran dan bergemerlapan dengan cahaya Ilahiyyah. Lidahnya akan mendapat kemuliaan dengan kemuliaan zikir dan bacaan, iaitu bacaan al-Qur’an. Anggota-anggotanya akan kelihatan indah dengan keindahan berkhidmat akan Allah S.W.T. Maka keadaan-keadaan begini adalah merupakan semulia mulia martabat insaniyyah dan darjat kemanusiaan. Tercapainya martabat dan darjat ini adalah kemuncak kebahagiaan manusia di dunia ini. Apabila kemuncak kebahagiaan di dunia ini sudah diperolehi, maka sudah tentu ia juga akan memperolehi kebahagiaan yang paling sempurna di akhirat.

Oleh demikian, barangsiapa yang telah mengecapi martabat dan darjat ini, hilanglah segala kepenatan dan keberatan beribadah, dan nescaya dia akan memperolehi halawah atau kemanisan ibadah yang amat lazat di dalam hatinya.

2) Ibadah adalah suatu amanah.

Firman Allah S.W.T.yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah bentangkan amanah ke atas langit, bumi dan gunung-ganang, lalu mereka tidak sanggup memikulnya, dan mereka takut menerimanya, lalu manusia memikulnya.”

Menunaikan ibadah adalah suatu sifat daripada sifat-sifat kesempurnaan yang disukai oleh jiwa. Menunaikan ibadah kepada Allah S.W.T. adalah penunaian separuh daripada amanah, dan ia akan menjadi sebab kepada penunaian separuh kedua lagi.

Diceritakan, bahawa seorang sahabat berkata: Saya melihat seorang Arab kampung datang ke pintu masjid, lalu turun daripada untanya, lalu ditinggalkan untanya dan memasuki masjid dan terus sembahyang dengan penuh ketenangan dan khusyu’, berdoa dengan segala apa yang dikehendakinya sehingga kami merasa takjub. Apabila dia keluar, didapati untanya  telah hilang, lantas dia berkata: Aku telah menunaikan amanah-Mu maka di manakah amanahku? Perawi cerita ini berkata: Kami bertambah hairan. Tidak lama dia duduk di situ, sehingga datanglah seorang lelaki menunggang untanya dan menyerahkan unta itu kepadanya.

Al-Imam al-Razi berkata: Iktibarnya, ialah apabila dia telah menjaga amanah Allah S.W.T. (iaitu beribadah kepadanya dengan sempurna), Allah S.W.T. menjaga amanahnya.

Inilah yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith yang dituturkan kepada Ibn Abbas:

“Jagalah (peliharalah) Allah S.W.T., nescaya Dia akan menjagamu (memeliharamu).”

3) Kesibukan beribadah atau keasyikan beribadat adalah suatu perpindahan daripada alam al-ghurur kepada alam al-surur, ialah perpindahan daripada alam tipu-daya kepada alam suka-ria. Ia juga merupakan perpindahan daripada kesibukan bersama makhluk kepada kesibukan bersama Allah S.W.T. Hal ini sudah tentulah membawa kepada kelazatan dan kegembiraan yang sempurna.

Diriwayatkan daripada Imam Abu Hanifah r.h., bahawa seekor ular telah terjatuh dari siling dan orang ramai lari bertempiaran. Abu Hanifah r.h. ketika itu di dalam sembahyang, dan beliau tidak tersedar apa yang terjadi. Perkara ini bukanlah suatu perkara ganjil. Sesiapa yang meraguinya, maka hendaklah dia merujuk ayat al-Qur’an yang menceritakan kisah Nabi Yusuf:

“Apabila perempuan-perempuan itu melihatnya (iaitu Yusuf), mereka hairan terpegun, sehingga mereka memotong tangan-tangan mereka.”

(Surah Yusuf: 31)

Perempuan-perempuan yang terpegun melihat Nabi Yusuf, lantaran kekacakan dan ketampanan baginda, sebenarnya hati mereka telah dikuasai oleh perasaan asyik dengan kekacakan Nabi Yusuf,yang mana membawa kepada hal tidak sedar diri, sampai mereka terpotong jari-jari tangan mereka. Apabila hal ini (iaitu keterpegunan dan keasyikan sampai tidak sedar diri) boleh berlaku pada hak seorang makhluk, maka tentulah lebih aula hal yang sama, (iaitu keasyikan yang amat mendalam dalam hati hamba) boleh berlaku terhadap Allah s.w.t.

Demikianlah kupasan Imam al-Razi dalam percubaan beliau untuk menerangkan faedah ibadah bagi seorang hamba Allah s.w.t. Seseorang yang merasai kelazatan iman yang sebenar, dan hatinya diselubungi cahaya keyakinan, dia tidak akan memandang ibadah sebagai ketundukan, atau kepatuhan kepada titah perintah semata-mata, bahkan dia akan dapati pada ibadah itu kelazatan. Lazat dengan munajat kepada Allah s.w.t. dan lazat dengan usaha merebut keredhaan Allah s.w.t, di mana dia pasti akan merasai suatu kebahagiaan yang tiada tolok-bandingnya dengan kebahagiaan orang yang hidup mewah di istana mewah, atau dalam timbunan harta benda, dan emas perak. Kebahagiaan orang yang beribadah jauh lebih istimewa dan unik.

Jika kita rujuk kepada Rasulullah s.a.w. kita dapati bahawa baginda s.a.w. menanti saat-saat ketibaan waktu sembahyang bagaikan penantian seorang yang haus dahaga akan setitis air yang sejuk. Baginda menerpa berlari meluru ke arah solat, seumpama melurunya seorang yang bermusafir di padang pasir ke arah lembah wadi yang kehijauan. Baginda seringkali berkata kepada Bilal apabila tiba waktu sembahyang, dalam keadaan yang rindu dan mengharap, dengan sabda baginda s.a.w.:

“Rehatkan kami ya Bilal dengannya (iaitu dengan sembahyang) wahai Bilal.” (Hadis riwayat Ahmad, Nasaai, Hakim dan Baihaqi)

‘Aisyah juga pernah menceritakan, di mana kata beliau:

‘Telah adalah Rasulullah s.a.w. bercakap-cakap dengan kami dan kami bercakap-cakap dengan baginda. Apabila tiba waktu sembahyang, baginda seolah-olahnya tidak mengenali kami lagi, kami tidak mengenali baginda. Maka tidak hairanlah jika baginda s.a.w. bersabda:

“Dijadikan kesejukan mata hatiku dalam sembahyang.”

Selain apa yang dibentangkan di atas, di sana masih banyak matlamat ibadah Islam yang ingin dicapai. Di antaranya sebagaimana yang digariskan oleh Prof. Dr.Yusuf al-Qardhawi ialah (1985: 95–129):

• Ibadah sebagai makanan ruh

• Ibadah dan ‘Ubudiyyah jalan pembebasan manusia

  • Ibadah sebagai ujian

• Ibadah adalah hak Allah S.W.T.ke atas hamba-Nya

• Ibadah sebagai cara mendapat pahala

• Ibadah adalah matlamat bukan hanya cara (Wasail)

• Ibadah sebagai cara pembersihan jiwa (bukan ‘Illah kepada ibadah)

• Ibadah sebagai akhlak dan akhlak sebagai ibadah

Bersambung…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s